SemanisKurma.my

Bukit Bintang, Bom Tangan Jenis M67 Digunakan


KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti bom yang digunakan dalam insiden letupan di hadapan sebuah kelab malam di Kompleks Sun, Bukit Bintang pagi tadi sebagai bom tangan M67.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa, memberitahu BERNAMA hasil siasatan polis mendapati kedua-dua bom itu dikenal pasti berdasarkan daripada nombor pin yang tertera M67 dan tahun 1983.

"Nombor pengenalan menunjukkan bom itu dihasilkan pada tahun 1983 jenis buatan lama yang selalu digunakan pada zaman perang...dan yang pasti, bom itu bukannya buatan negara kita," katanya.
Seorang joki kereta, Tiong Kwong Yie, 36, maut dan 12 lagi cedera termasuk pelancong asing dalam serangan bom tangan yang dipercayai membabitkan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap, di hadapan sebuah kelab malam, Kompleks Sun pada jam 4.20 pagi.

Ia dipercayai kejadian serangan bom pertama di pusat hiburan di negara ini.

Mangsa yang cedera adalah enam rakyat tempatan, seorang lelaki Thailand, seorang lelaki Singapura dan empat wanita warga China. Sementara itu, seorang wakil syarikat pengurusan jenazah, ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), berkata isteri Tiong dijangka tiba di HKL malam ini dari Sarawak.

Katanya, Tiong meninggal dunia jam 10.20 pagi tadi ketika menjalani pembedahan di hospital itu akibat kecederaan parah dan bedah siasat ke atas mendiang akan dijalankan pagi esok.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Yaw berkata, ketika kejadian kira-kira 4.15 pagi, dia sedang minum di kelab itu dan terlihat ada objek dilemparkan dari tingkat dua sebelum meletup.

"Tiba-tiba nampak macam bom dari atas kompleks itu. Saya mengalami kecederaan di kaki kiri," katanya ketika ditemui di HKL.

Seorang pengunjung wanita rakyat China ketika ditemui berkata, ketika kejadian beliau berada di hadapan pintu masuk kelab malam dan terkejut apabila mendengar bunyi letupan.

Katanya, beliau mengalami kecederaan ringan di sebelah kaki kanannya.

"Masa saya keluar, saya nampak ada benda jatuh, selepas jatuh sahaja dalam masa dua hingga tiga saat terus meletup sebelum menyedari kaki kanan saya terluka akibat terkena serpihan letupan," katanya dalam dialek Mandarin sambil menunjukkan lukanya kepada wartawan di hadapan kaunter Jabatan Kecemasan HKL. ~ Bernama
Title : Bukit Bintang, Bom Tangan Jenis M67 Digunakan
Description : KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti bom yang digunakan dalam insiden letupan di hadapan sebuah kelab malam di Kompleks Sun, Bukit Bintang ...

0 Response to "Bukit Bintang, Bom Tangan Jenis M67 Digunakan"

Catat Ulasan

MY SPONSER NUFFNANG

SPEKMURAH