HARI, seorang lelaki yang memegang tanggungjawab besar dalam mengotakan janjinya untuk melihat rumah tangganya semakin dilimpahi kemewahan dengan mengizinkan isterinya, Izza (Fazura) menguruskan syarikat. Sedangkan dia menjalankan tanggungjawab menjaga anaknya, Zara (Mia Sara).
Di mata masyarakat, Hari dan Izza adalah pasangan ideal yang sukses dalam rumah tangga dan kerjaya. Pasangan suami isteri ini tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa gosip. Pendek kata, tiada apa yang mampu menembusi dunia peribadi mereka.
Namun detik cemas bermula apabila Zara diculik. Dan penculikan misteri itu yang membongkar dan terluahnya segala konflik dalaman yang selama ini dipendam baik Hari, Izza sendiri juga dari orang sekeliling yang rapat dengan mereka.
Sepanjang mencari jawapan mengenai kehilangan anak mereka, kebenaran semakin terbongkar.
Begitulah antara sebahagian jalan cerita psiko-thriller, Tembus yang menggandingkan Aaron Aziz, Luna Maya dan Nur Fazura sebagai bintang utama.
Turut menampilkan Khir Rahman, Eizlan Yusof serta si cilik, Mia Sara, filem ke-14 terbitan Excellent Pictures ini telah memulakan penggambarannya di sekitar Kuala Lumpur sejak 24 Ogos tahun lalu dan bakal ditayangkan 28 Julai ini.
Berkongsi pengalaman sepanjang berlakon di dalam filem ini, aktres cantik, Luna Maya mengakui berasa kekok pada awalnya ketika bergandingan bersama Aaron bagi melunaskan wataknya sebagai Merylia.
Jelas Luna, apatah lagi dia tidak mengenali Aaron secara dekat dan hanya pernah melihat aktor kelahiran Singapura itu menerusi program E Channel.
"Sebelum ini saya hanya dengar namanya dan tahu dia popular di Malaysia serta antara pelakon yang menjayakan KL Gangster. Jadi apabila ditawarkan untuk berlakon dalam filem ini, saya tidak lagi berfikir panjang.
"Namun ketika penggambaran dijalankan, saya agak kekok berlakon bersama Aaron kerana kalau di Indonesia, sebulan sebelum penggambaran filem dilakukan, kita akan berjumpa dulu dengan gandingan kita dan berbual-bual.
"Tapi Alhamdulillah lama-kelamaan saya tidak merasa kekok dan selesa bekerjasama dengan Aaron dan bekerja di bawah Idham. Malah sepanjang penggambaran, saya seronok kerana kru-kru di sini semuanya melayan saya dengan baik," ujar Luna yang ditemui di Cathay
Cineplexs, e@Curve usai tayangan Tembus, Khamis lalu.
Luna bosan jadi baik
Menurut Luna, antara faktor lain dia menerima tawaran berlakon di dalam filem ini kerana dia mahu kelainan dan bosan kerana asyik diberikan watak yang baik.
"Sejujurnya saya tertarik dengan watak Merylia. Kalau di Indonesia, dalam sinetron di sana saya sering membawakan watak perempuan baik, jadi saya sudah mulai bosan dengan karakter yang sama.
"Jadi saya mahu mencuba sesuatu kelainan dan saya tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran ini," jelasnya.
Berkongsi mengenai Ramadhan kali ini, aktres yang mula mencipta nama menerusi filem ‘30 Hari Mencari Cinta’ ini berkata, dia memilih untuk berehat panjang.
"Sebelum ini saya mesti sibuk dengan program televisyen, jadi kali ini saya ambil keputusan untuk berehat dan memberi tumpuan untuk beribadat.
"Jadi kerjaya seni saya hanya akan bermula semula selepas hari raya Aidilfitri kelak," katanya.
Luna berkata, tidak banyak kenangan menyambut Ramadhan di tempat kelahirannya, Bali kerana majoriti masyarakat di sana bukan beragama Islam.
Katanya, dia lebih gemar menyambut Ramadhan di Jakarta kerana majoriti masyarakat di sana beragama Islam.
"Jika dulu semasa kecil, sementara menunggu waktu berbuka, saya akan bermain di pantai bersama kawan-kawan. Tapi Ramadhan dan Syawal di Bali tidak semeriah di Jakarta.
"Jika di Jakarta, menjelang waktu bersahur, akan ada anak-anak yang akan keliling taman dan menjerit 'Sahur, Sahur' untuk mengejutkan penduduk di situ," katanya yang lebih gemar memakan buah dan makan yang ringan ketika bersahur.
Selain itu ujar Luna, buat pertama kalinya dia akan bercuti selama seminggu dan akan menyambut Lebaran di Bali.
"Tidak banyak persiapan yang saya lakukan tapi tiket kapal terbang untuk pulang ke Bali sudah saya beli awal-awal lagi," katanya yang akan melancarkan single kolaborasi bersama Datuk AC Mizal Ogos nanti dan merancang untuk mengarahkan filem tahun hadapan.
Aaron cari kepuasan
Sementara itu, Aaron pula berkata, dia pada mulanya ditegur Idham kerana tidak berbual dengan Luna di set penggambaran bagi mendapatkan keserasian.
"Saya ini jenis masuk set, bila pengarah kata 'action' baru saya akan beri apa yang pengarah mahu, pendek kata terus ke karakter. Tapi tidak dengan Luna kerana biasanya dia akan berbual terlebih dahulu untuk mencari keserasian.
"Jadi Idham ada tegur saya untuk pergi berbual dengan Luna dan Alhamdulillah, walaupun pertama kali bergandingan, Luna tidak ambil masa untuk membiasakan diri.
"Bagi saya gandingan saya dan Luna bersama Khir Rahman, Fazura adalah sesuatu yang lain dan segar dalam filem kali ini," katanya.
Bercerita serba sedikit mengenai watak Hari, Aaron berkata, wataknya kali ini berbeza dengan watak-watak yang pernah dijayakan sebelum ini.
"Sebelum ini saya lebih kepada filem aksi yang tidak memerlukan saya bermain dengan emosi. Tapi kali ini akan ada 'twist' yang tidak akan disangka penonton pada pengakhiran filem ini. Dan filem seperti ini yang saya mahukan kerana ia lain daripada lain," katanya.
Dalam pada itu, Aaron berkata, memandangkan dia baru membuka sebuah kafe di Setia Alam, jadi kebanyakan masa dihabiskan di kafe berkenaan.
"Biasanya kalau saya ada majlis berbuka atau kerja lain, saya akan selesaikan dulu dan kemudian saya pasti akan ke kafe untuk menjenguk peminat dan rakan-rakan yang hadir ke sana," katanya yang membuka kafe diberi nama Kidz And Creme.
Beralih mengenai persiapan raya, Aaron berkata, dia sudah memberi tiket kapal terbang untuk pulang ke Singapura bagi menyambut Lebaran.
"Dari segi baju raya, kuih dan sebagainya saya serah kepada isteri. Tapi buat masa ini memang tidak banyak lagi persiapan yang sudah dilakukan," akhirinya.
Title : Tembus satukan Aaron, Luna
Description : HARI, seorang lelaki yang memegang tanggungjawab besar dalam mengotakan janjinya untuk melihat rumah tangganya semakin dilimpahi kemewaha...
Description : HARI, seorang lelaki yang memegang tanggungjawab besar dalam mengotakan janjinya untuk melihat rumah tangganya semakin dilimpahi kemewaha...
0 Response to "Tembus satukan Aaron, Luna "
Catat Ulasan