SemanisKurma.my

#4 Sikap Lelaki Yang Sukar Diubah


Berbanding wanita, lelaki lebih sukar untuk berubah. Mengapa? Mungkin ini berkait rapat dengan tahap egonya. Mengikut kajian dan banyak situasi, usia lelaki untuk berubah adalah sehingga umur 40 tahun. Andaikata sehingga lepas 40 tahun pun masih tidak boleh berubah dan masih dengan perangai lama, maknanya itulah perangai dia yang sebenar-benarnya sehingga ke tua.

Sesungguhnya mengubah orang lain tidak semudah mengubah diri kita sendiri kerana hanya kita sahaja yang boleh mengubah diri kita. Bertolak ansur penting dalam hal ini. Jika mahu mengubah pasangan, yang boleh dilakukan adalah dengan menggunakan psikologi selain terus berdoa.

Cuba gunakan akal fikiran untuk menarik perhatiannya. Pujuknya secara lembut, beri contoh melalui perbuatan dan jangan sesekali berputus asa melakukan dengan penuh ikhlas dan dengan harapan akan terbuka pintu hatinya untuk berubah. Jika tidak banyak, sedikit pun jadilah. Selebihnya serahkan kepada yang Esa agar anda terus diberi kekuatan untuk berhadapan dan hidup bersamanya.

Antara yang sering menjadi punca pergaduhan berpanjangan (selamanya) dalam rumahtangga adalah:

Womaniser (Kaki perempuan/Mata keranjang)

Masalah ini merupakan masalah yang paling ditakuti wanita kerana lelaki yang terlalu ego menganggap dirinya berkuasa dan layak untuk menundukkan semua wanita serta layak dikelilingi oleh dayang-dayang atau lebih dari seorang wanita dalam satu masa. Lelaki sebegini biasanya hanya tahu pandai mengarah ‘sana sini’ terutamanya isterinya, sebagai tanda dia adalah ketua keluarga. Yang menjadi mangsa adalah si isteri kerana terpaksa menahan derita seumur hidup, bagi mengelakkan dari menderhaka.

Disebabkan begitu taat kepada suami, isteri akan ‘merelakan’ dirinya diperbodohkan, ditipu seumur hidup dan dihina di hadapan temanteman wanita suaminya, sementara suami akan terus berpoya-poya dengan wanita lain di luar sana. Bagi anda yang belum berumahtangga dan sedang berpacaran dengan golongan seperti ini, berhati-hatilah. Fikirlah seribu kali sebelum mengambil keputusan untuk hidup bersama. Sampai bila anda mampu bertahan? Setahun? Dua tahun? 10 tahun? Atau selamanya? Jangan sampai anda yang menjadi gila.


Pemalas/ Pengotor

Jika diikutkan, sikap pemalas dan pengotor dapat dikenalpasti dari awal lagi. Bagaimana keadaan rumah bujang atau biliknya, begitulah sikapnya dalam aspek kebersihan diri. Bak kata orang, segalanya bermula di rumah. Jika di rumah keluarga umpamanya, dia sendiri rajin membantu keluarga mengemas rumah, maka dia bakal menjadi suami yang rajin membantu isteri.

Tidak Bertanggungjawab

Apa guna berkahwin jika tidak tahu erti tanggung jawab? Tanggung jawab perlu seiring dengan rasa kasih dan sayang. Ada sesetengah pasangan, tidak kira lelaki atau wanita, hanya berkahwin kerana nafsu semata-mata. Mampukah bertahan selamanya? Suami yang tidak tahu bertanggungjawab hanya tahu menghabiskan masa dengan rakan-rakan di luar sedangkan si isteri ‘tidak cukup tangan’ melayan anak-anak, menyediakan makan-minum suami dan anak-anak, membayar bil-bil dan membantu suami dari segi kewangan.

Dalam sesetengah kes pula, ada juga jenis isteri yang hanya mementingkan karier tanpa menghiraukan makan minum suami dan anak-anak. Bak kata orang, dapur pun tidak pernah berasap. Pakaian suami pun terpaksa digosok sendiri. Masalah seperti ini juga sering mengundang kepada perpisahan jika tiada seorang pun yang mahu berubah dan masih mempertahankan cara hidup seperti ‘orang bujang’.

Tidak Pandai Mengambil Hati

Sudah menjadi lumrah manusia terutamanya golongan hawa untuk sentiasa mendapat perhatian dan belaian daripada seorang yang bernama lelaki. Wanita atau seorang isteri sanggup berpenat lelah menumpukan perhatian untuk suami dan anak-anak tanpa rasa jemu. Percayalah, keletihan seorang isteri bakal reda dan hilang sekelip mata hanya dengan ciuman, pelukan atau pujian daripada suami tercinta. Mudah bukan? Namun berapa peratus golongan suami yang mengambil serius tentang hal ini?

Bagi kebanyakan lelaki, ia mungkin perkara remeh dan tidak perlu ditunjukkan, tetapi anda sebenarnya silap. Semua wanita mahu sentiasa dibelai, dipuji dan disayangi selamanya. Ingat, anda tidak perlu menjadi terlalu romantik jika itu bukan diri sebenar anda, namun sedarlah betapa ungkapan rindu dan sayang itu perlu dilafazkan, sehingga ke tua! Jika anda mampu berbuat demikian, maka bahagialah anda selamanya.
Title : #4 Sikap Lelaki Yang Sukar Diubah
Description : Berbanding wanita, lelaki lebih sukar untuk berubah. Mengapa? Mungkin ini berkait rapat dengan tahap egonya. Mengikut kajian dan banyak s...

0 Response to "#4 Sikap Lelaki Yang Sukar Diubah"

Catat Ulasan

MY SPONSER NUFFNANG

SPEKMURAH