SemanisKurma.my

Berubah hati di Syria - "Yatt"

Berita pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah, 35, memfail­kan permohonan cerai terhadap suaminya, Abdul Mutalib Abdul Shukor (Talib), 35, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 24 Februari lalu, mengejutkan banyak pihak.

Sehari kemudian, pasangan ini terbang ke Syria bagi menyertai misi kemanusiaan selama 10 hari dan dilihat masih bergambar bersama, seolah-olah tidak ada masalah antara mereka.
Keadaan itu membuat ramai tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku sehingga Yatt mengambil keputusan berkenaan namun tidak kurang berharap yatt mempertimbangkan semula perkara itu.
Pada 12 Mac lalu, pasangan itu meminta tempoh sebulan daripada mahkamah untuk menyelesaikan masalah rumah tangga secara baik. Berita itu disambut gembira peminat yang tidak putus mendoakan kebahagiaan Yatt serta suami.

Yatt ketika dihubungi Rabu lalu, menzahirkan rasa syukur apabila hubungan dengan suami makin pulih sejak pulang dari Syria. Malah, mereka sepakat mengekalkan ikatan suami isteri dan mahu menambah zuriat secepat mungkin.
“Alhamdulillah, kami kini dalam tempoh pemulihan. Hubungan kami semakin baik, insya-Allah dialah suami pertama dan terakhir saya.
“Di Syria, saya solat istikharah setiap hari dan apabila pulang ke tanah air, saya mahu beri peluang kepada suami membetulkan keadaan.

“Saya pujuk hati untuk terima apa yang Allah beri adalah yang terbaik dan tiada ada yang lebih baik 
daripada Talib. Saya pun tidak sempurna mana, jadi tak boleh harap dia sempurna serba-serbi,” katanya yang dalam proses menarik kembali permohonan cerai.
Kongsi Yatt, keputusan membawa perkara itu ke mahkamah sebenarnya dilakukan dengan berat hati. Pada saat itu, dia merasakan tindakan berkenaan adalah yang terbaik dan dilakukan selepas berbincang dengan keluarga.

“Dugaan yang melanda ketika itu sangat berat dan saya tidak berdaya mengendalikannya. Mungkin hati saya rapuh. Saya pula jenis tak suka mengadu dengan orang. Kalau yang tahu pun, hanya orang tua dan beberapa ustazah serta ustaz.

“Saya ada buat solat istikharah tetapi tiada jawapan nyata. Barangkali saya belum cukup kuat berdoa dan buat keputusan berdasarkan firasat,” katanya.

Pengalaman menyaksikan penderitaan hidup rakyat Syria menyedarkan Yatt mengenai banyak perkara, terutama perihal rumah tangga. Jawapan dicari berjaya ditemui di sana, apatah lagi suami tercinta menunjukkan kesungguhan memperbaiki hubungan mereka.
Kesukaran yang ditempuh sepanjang di negara itu merapatkan mereka, malah sepanjang masa Talib menjaganya.

“Apa yang berlaku ada hikmahnya dan jadi pengajaran buat saya dan suami. Saya rasa masalah saya besar tetapi melihat kesusahan yang dilalui wanita Syria, saya jadi malu sendiri.

“Apabila berada dalam zon peperangan, saya dapat rasa sendiri penderitaan mereka. Setiap saat terdedah dengan bahaya peluru serta bom. Kami tidak cukup makan dan pakaian, malah tidak mandi selama lima hari.

“Ramai wanita jadi balu, tetapi mereka sangat tabah. Seorang dari­pada mereka menunjukkan video rakaman kematian suaminya kepada saya. Saya menangis melihat otak suaminya berkecai tetapi dia tenang saja.

“Mereka tidak mahu kahwin lagi kerana mahu jumpa suami di syurga. Ia beri tamparan hebat kepada saya dan terfikir betapa berbezanya kami.
“Mereka berpisah mati, sedangkan saya mahu jauhkan diri dari suami. Saya rasa berdosa dan belajar menerima seadanya apa saja Allah bagi. Mungkin itu yang terbaik buat kita, tetapi kita yang tidak tahu,” katanya.
Kata Yatt, pada hari terakhir di Syria pada 5 Mac, Talib datang bertemunya selepas solat Subuh dan meminta dia berdoa. Ketika itu Talib mengaminkan doa yang dibacanya dan mereka tidak dapat menahan sebak hingga air mata mengalir laju.
Selalunya dia baca doa dan saya akan aminkan, tetapi kali ini dia minta saya baca doa dan dia aminkan. Ketika itu matahari tengah naik dan pemandangan sangat cantik. Mulut saya tiba-tiba ringan dan berdoa panjang.

“Saya mohon apa yang terbaik buat rumah tangga kami, anak serta ibu bapa. Suasana memang syahdu dan kami menitiskan air mata.
“Syukur doa kami dan orang ramai di tanah air dimakbulkan Ilahi. Terima kasih kepada mereka yang mendoakan kebahagiaan kami dan hanya Allah dapat membalas kebaikan kalian,” katanya dalam tangisan.

Mengenai punca sebenar permasalahan yang timbul antaranya dan Talib, Yatt menegaskan, biar ia menjadi rahsia antara mereka, namun tidak menafikan ia sudah lama berlarutan dan masih memberi peluang dengan harapan ia dapat diperbaiki.
Namun selepas pulang dari umrah tiga bulan lalu, keadaan masih sama dan Yatt merasakan barangkali dia bukan yang terbaik untuk Talib.
“Punca sebenar, biar saya dan suami saja yang tahu. Namun yang pasti bukan kerana orang ketiga seperti dibang­kitkan segelintir pihak.

“Apa yang boleh dikongsikan di sini adalah saya rasa dia patut jumpa orang yang lebih baik daripada saya. Saya sibuk de­ngan karier dan mungkin orang lain boleh menjaganya dengan lebih elok.

“Saya pernah beri lesen kepadanya untuk berkahwin lain, malah di Syria saya suruh dia pilih wanita di sana untuk jadikan isteri, tetapi dia tidak mahu. Dia marah saya.
“Sibuk bekerja mungkin menjadi faktor keharmonian rumah tangga. Walaupun dia menguruskan kerjaya saya dan selalu buat kerja bersama-sama, wujud ketegangan dalam hubungan. Sekarang kami lebih akrab, malah boleh berbincang secara baik.

“Saya bersyukur Allah beri kami peluang untuk perbaiki diri dan buat perubahan. Saya belajar untuk lebih menerima dan bukan merungut. Hidup pun jadi lebih tenang dan reda,” kata ibu kepada Suci Malika Hanania, 5, ini.
Title : Berubah hati di Syria - "Yatt"
Description : Berita pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah, 35, memfail­kan permohonan cerai terhadap suaminya, Abdul Mutalib Abdul Shukor (Talib), 35, di M...

0 Response to "Berubah hati di Syria - "Yatt""

Catat Ulasan

MY SPONSER NUFFNANG

SPEKMURAH